Selasa, 12 Oktober 2010

Bagaimanakah Cara Sebenar Islam Naik Semula? Bahagian I

Setiap orang yang mengaku beragama Islam, mahu tidak mahu pasti inginkan Islam memerintah negara ini khususnya, dan dunia ini amnya. Namun ramai yang masih tidak mengetahui bagaimanakah caranya Islam dapat naik semula untuk memerintah dunia ini. Masih ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah caranya Islam boleh muncul sebagai kuasa baru dunia itu. Dan masih terlalu ramai yang tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam naik. Selain itu, masih ramai yang keliru dengan kaedah kemunculan semula Islam pada kali ini.

Akibat daripada itu, ramailah yang mengikut-ikut sahaja cara yang sedia ada. Ramailah yang taklid buta dan yang mentaklidbutakan orang, sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk mengajak orang ramai supaya jangan bertaklid buta, kononnya tidak akan maju sampai bila-bila.


Masing-masing masih tidak jelas apa itu pemerintahan Islam yang sebenar, dan jika dikatakan kepadanya bahawa Islam naik tidak melalui kaedah politik yang digunakan pada hari ini, tiba-tiba sahaja mereka akan garu kepala yang tidak gatal. Tidak kurang pula yang terus menolak tanpa berfikir lagi dan sebagainya. Setelah itu, timbul pula beberapa persoalan yang amat penting untuk dijawab dengan penuh saksama dan tepat menurut kehendak ajaran Islam yang tulen. Antara persoalan utama yang selalu diajukan jika diberitahu kepadanya bahawa Islam tidak naik melalui sistem yang sedia ada ialah, apakah kaedah itu adalah;


1. Kaedah politik Barat, yang menekankan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi yang diasaskan oleh Barat, sistem politik ala-Barat atau menggunakan gabungan antara sistem demokrasi yang disesuaikan dengan Islam ( ½ demokrasi dan ½ lagi Islam )?


2. Kaedah rampasan kuasa seperti yang pernah digunakan di Pakistan, Afghanistan, Libya dan Iran?


3. Kaedah jihad terhadap yang berlainan agama seperti mengebom gereja-gereja, menyerang kuil-kuil dan membunuh pengikut-pengikut mereka seperti oleh KMM, Al-Ma’unah, GAM dan MILF?


4. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu pengetahuan seperti yang sering dilaung-laungkan oleh para sarjana dan cendekiawan Islam di hampir setiap puncak menara gading?


5. Kaedah penguasaan ekonomi seperti yang dicanang dan dipraktikkan oleh para usahawan dan koperat Islam?


6. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam yang menekankan penghayatan secara tebuk-tebuk seperti yang pernah cuba diterapkan ke dalam sistem pentadbiran dan perbankan kita suatu ketika dahulu?


7. Atau adakah cara lain lagi, selain daripada yang di atas, yang boleh digunakan untuk membolehkan Islam naik semula memerintah dunia ini? Jika ada, apakah nama cara itu? Siapa pengasasnya? Di mana tempatnya? Apakah orang itu sudah ada pada masa kita ini? Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmunya? Apa nama partinya jika dia orang politik? Jika dia bukan orang politik, apakah nama gerakannya? Militankah dia?


Islam tidak akan dan tidak pernah berjaya jika dinaikkan menggunakan kaedah yang lain daripada kaedah Islam itu sendiri. Diumpamakan kita membasuh kain yang terkena tahi ayam dengan menggunakan arak. Itulah umpamanya orang yang cuba menegakkan Islam dengan menggunakan kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu sendiri. Ada yang berkata, kita naik dahulu dengan cara Barat, dan selepas mendapat kuasa nanti, kita tukarlah sistem Barat itu dengan sistem Islam. Cara ini juga tidak betul kerana apabila kita menggunakan kaedah yang selain dari Islam, pastilah hasilnya akan melencong pula dari yang disasarkan. Kaedah rampasan kuasa tidak akan berjaya kerana bukti-bukti sejarah yang terang jelas menunjukkan bahawa kaedah ini sentiasa gagal membawa keamanan kepada sesebuah negara itu, malah rakyat akan bertambah membenci kerajaan yang didirikan secara kekerasan dan rampasan kuasa. Kaedah jihad seperti yang cuba dilaksanakan oleh beberapa pihak sebenarnya bukanlah bentuk jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ada banyak bentuk jihad yang lain yang lebih sesuai diterapkan kepada orang ramai, sama ada kepada yang beragama Islam sendiri, mahupun kepada orang yang bukan Islam. Jihad dengan senjata bukanlah kaedah yang pertama dan utama yang patut kita gunakan. Lagipun kaedah ini tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mengenai peristiwa akhir zaman.


Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu seperti yang selalu disebut-sebut di hampir setiap forum dan seminar sebenarnya bukanlah kaedah yang terbaik untuk membangunkan Islam. Ilmu yang tidak disertakan tauhid, roh Islam dan amalan hati pasti akan gagal juga. Apatah lagi jika guru yang mengajar agama Islam itu adalah orang yang tidak tentu akidahnya, orangnya fasik ataupun orang kafir. Jika benar dengan memperkasakan ilmu-ilmu agama dapat membangunkan ummah, kenapa sehingga kini universiti masih gagal menunjukkan bahawa merekalah pelopor terhadap kebangkitan semula Islam di rantau sebelah sini? Setakat buku ini ditulis, tidak pernah lagi ada orang yang berkata bahawa kebangkitan semula Islam pada zaman ini di Timur ini, bermula di universiti, dibangkitkan oleh para pensyarahnya. Kaedah penguasaan ekonomi juga menunjukkan hasil yang hampir sama jika dilihat secara umum, menurut kaca mata orang ramai. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan perbankan juga tidak menunjukkan bahawa kaedah ini mampu menjadi peneraju kebangkitan semula Islam pada zaman ini.


Malah sebenarnya kaedah ini lebih banyak menghasilkan orang-orang yang berpura-pura dan bersikap berketrampilan (serba boleh). Maksudnya, orang itu akan mempermain-mainkan Islam sama ada secara sedar atau tidak. Misalnya mereka berpakaian biasa yang terdedah sana dan sini pada hari-hari biasa, manakala pada hari Jumaat, bertudung litup. Kemudian pada hari lain, buka semula seperti biasa. Atau contoh lain ialah orang itu boleh menjadi imam sembahyang pada satu masa, manakala pada masa yang lain, dia juga mampu menjadi imam semasa berjudi atau minum arak.


Memang persoalan seperti ini pernah ditimbulkan oleh orang ramai. Pada hari ini, umat Islam sudah mula frust dan fed up terhadap sistem politik yang ada dan digunakan pada hari ini. Mereka bukan tidak mahukan Islam itu naik, tetapi jemaah-jemaah yang kononnya mendukung perjuangan menegakkan sebuah negara Islam masih belum juga menampakkan sebarang persediaan untuk menyambut tugas yang maha besar itu. Mereka masih lagi sibuk dengan cara dahulu juga iaitu bertempik dengan penuh semangat sambil mencerca pihak lawan yang kononnya tidak mahukan Islam, tidak nampak lagi usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka, yang menjurus ke arah itu, sedangkan canangannya sudah begitu lama diuar-uarkan.
  
Bersambung...

Isnin, 11 Oktober 2010

Perjanjian Dahulu...

Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?'

Murid 1 = ' Orang tua '
Murid 2 = ' Guru '
Murid 3 = ' Teman '
Murid 4 = ' Kaum kerabat ' 
 


Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI . Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185). 
 


Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'

Murid 1 = ' Negeri Cina '
Murid 2 = ' Bulan '
Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang-bintang '

Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU . Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'.
 


Imam Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?'

Murid 1 = ' Gunung '
Murid 2 = ' Matahari '
Murid 3 = ' Bumi '

Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.' 

Imam Ghazali = ' Apa yang paling berat didunia? '
 
Murid 1 = ' Baja '
Murid 2 = ' Besi '
Murid 3 = ' Gajah '

Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling be! rat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'
 

Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?' 
 
Murid 1 = ' Kapas'
Murid 2 = ' Angin '
Murid 3 = ' Debu '
Murid 4 = ' Daun-daun'

Imam Ghazali = ' Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT . Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '



Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? '

Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang '

Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri '

Khamis, 7 Oktober 2010

AKU HANYALAH SEORANG HAMBA

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') 

'Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."

Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras
kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."

"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya."

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"

Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi
beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita... adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa, hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah.

Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya. Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Rabu, 6 Oktober 2010

Tersentuh Hati dgn Keluarga yg Bahagia...


Korek2 dalam Email... jumpa kisah ni... semoga dpt memberi manfaat. :-)

Maaf mengganggu... saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru2 ini. Ustazah yg menceritakan ini sekarang mengajar di kisas. ceritanya begini.suatu hari,dia travel, saya kurang ingat ke mana dan dari mana. dia singgah di rumah seorang sahabatnya yg mana pasangan suami isteri tersebut dalah guru biasa.

Si suami seorg guru pen. kanan. beliau tiba dirumah sahabatnya ini sekitar tgh hari tapi belum zohor. Kedua2 suami isteri ini masih di sekolah.

Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 org anak mereka yg kesemuanya lelaki yg mana yg paling tua dlm tingkatan satu & yg paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk. abang yg tua mengajak semua adik2nya yg baru pulang utk solat berjemaah dgn dia sendiri sbg imam.

Sewaktu dlm rakaat kedua, salah seorg adiknya yg berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yg sedang solat,dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah. dia ikut ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam, ia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yg tertinggal. Subhanallah... adik yg berumur 8 thn ini sudah pandai masbuk... 

ustazah yg melihat terkejut dan kami yg mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak2 yg masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua org tua mereka atau mana2 org dewasa dan tanpa disuruh2.

Cerita tak berakhir di situ. Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yg paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak2 kecil semuanya sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 org budak lelaki dgn yg paling tua berumur 13 thn dan yg ke tujuh entah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. 

Si ayah menunggu anak2nya di tikar sembahyang dgn sabar sambil berzikir. Mereka solat
jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsu nya yg masih bayi (yg sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah spjg mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ. Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi.

Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap
jemaah sambil berkata,"anak2... hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa...". Dan 8 org anak termasuk si ibu dgn tekun mendengar kuliah subuh yg disampaikan.

Subhanallah... bila ditanya kpd si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kpd anak2 nya dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak2 lelakinya yg 8 org itu dpt membacakan sekurang2nya fatihah utk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak2 mereka semuanya lelaki... 

pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak2 mereka terabai tanpa pedoman... 

cuba kita tanya diri kita sendiri... 
berapa ramai keluarga Islam hari ini yg dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga?
berapa ramai anak2 Islam berumur 8 thn yg pandai solat masbuk?
berapa ramai anak2 berumur 13thn yg pandai mengimami solat memimpin adik2 mereka? 
berapa ramai ibubapa yg berjaya mendidik anak2 mereka sedemikian rupa?
berapa ramai anak2 yg taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yg lebih dewasa?

subhanallah...alhamdulillah... moga apa yg saya sampaikan ini menjadi pedoman dan i'tibar buat kita semua...


Selasa, 5 Oktober 2010

KISAH MENCARI TUHAN

Tersebutlah satu kisah bahawa sewaktu Nabi Musa AS telah sampai di negeri Mesir setelah kembali dari negeri isteri Baginda di Madyan, maka Baginda telah menyampaikan risalah keRasulannya dan ajaran-ajaran agama yang telah diterima dari Tuhannya sewaktu menyendiri di bukit Tursina (Sinai) di lembah Thuwaa dengan ayat-ayat dalam kitab Taurat.

Dimulainya seruan ini kepada kaumnya Bani Israil di samping menghadapi Firaun dengan kaumnya yang memerintah Mesir waktu itu. Yang menjadi pokok ajaran Nabi Musa sama saja dengan asas ajaran segala Nabi SAW dan Rasul sebelum dan sesudahnya. laitu:

Bahawa kamu menyembah Allah dan janganlan kamu persekutukan-Nya dengan sesuatu pun!

Akhirnya sampailah seruan dan ajaran Nabi Musa ini ke satu negeri kecil yang jauh terpencil di hulu sungai Nil. Nama negeri itu Qiryah.

Adapun penduduk negeri ini antara seribu ke tiga ribu orang yang kebanyakannya terdiri dari suku-suku Bani Israil. Di antara orang-orang beriman yang tinggal di sana termasuklah seorang pemuda yang bernama Abdullah Syarafi. Pemuda tersebut tidak berasa puas hati sekadar beriman begitu saja kepada Allah SWT, malahan timbul keinginan dalam dirinya untuk mengetahui nyata siapakah sebenarnya Allah, Tuhan yang akan disembahnya nanti.

Perasaan ini mengganggu benaknya siang dan malam. Akhirnya beliau membuat satu keputusan. laitu dia akan pergi ke Mesir untuk menemui Nabi Musa AS supaya dapat bertanyakan halnya itu.

Qiryah ialah satu negeri yang jauh. Perjalanan ke Mesir memakan masa berhari-hari dengan menempuhi berbagai kesukaran mendaki bukit-bukau, merentasi hutan rimba yang tebal, penuh dengan binatang buas, melintas pula padang pasir tandus yang kering kontang. Semua itu sudah terbayang di kotak ingatannya.

Tetapi adakah itu semua menghalang beliau untuk meneruskan niatnya. Sama sekali tidak. Abdullah Syarafi terus bersiap-siap dan pada satu saat dan hari yang dikiranya baik, lalu mulalah beliau mengatur langkah seorang diri.

Sesudah menempuh beberapa hari perjalanan, kini hutan rimba menanti di hadapannya. Hutan rimba itu merupakan suatu pemandangan yang mengerikan. Sunyi dari suara manusia. Beliau terus melangkah semakin jauh ke tengah hutan rimba.

Tiba-tiba, beliau dikejutkan oleh satu pemandangan yang menakutkan sekaligus amat menyedihkan. Apa yang ditemuinya ialah sekujur tubuh manusia yang sudah dianiayai. Tubuh yang cuma tinggal badan dan kepala itu terlantar di bawah satu pohon. Kedua-dua kaki dan tangannya telah dipotong. Dia tidak dapat bergerak lagi kemana walaupun sekadar untuk mengiring ke kiri atau ke kanan.

Kaki dan tangannya yang sudah terpisah itu telah hampir reput dan penuh dikerumui ulat, lalat dan bermacam-macam binatang kecil yang memakan bangkai. Demikianlah keadaannya sehingga tiada apa lagi yang dinanti melainkan maut sahaja. Pemandangan itu amat mengharukan perasaan Abdullah Syarafi.

Namun ada satu perkara sangat mengejutkan beliau. Dilihatnya beratus-ratus ekor semut bergotong royong mengusung dengan susah payahnya akan buah-buah hutan. Dengan perlahan-lahan buah hutan itu dibawa hingga ke mulut insan yang malang itu. Lalu dapatlah dia makan dan menyambung sisa-sisa nyawa yang masih ada.

Kepada Abdullah Syarafi lalu diceritakan kisah dirinya hinggalah beliau jadi begitu sengsara. Katanya, semua itu berpunca dari perbuatan satu kumpulan penyamun yang telah merampas harta bendanya. Kemudian diceraikan pula kaki tangannya dan ditinggalkan di dalam hutan itu sejak lima hari yang lalu.

Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa besarnya kesengsaraan yang ditanggungnya. Tetapi rupanya, ajal belum ditakdirkan untuknya lalu digerak Tuhan akan ratusan semut-semut untuk membawakan buah hutan sebagai rezekinya.

Itulah makanannya sejak terlantar tidak berkaki dan tidak bertangan.

Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuannya untuk ke Mesir. Setelah habis diceritakan lalu orang itu berkata:

"Kalau begitu, tolonglah tanyakan kepada Nabi Musa, sesudah sampai begini rupa kekejaman orang terhadap diriku, maka adakah aku akan masuk syurga dengan menanggungnya?"

"Baiklah," balas Abdullah Syarafi dengan perasaan yang hancur luluh, lalu dia pun meminta izin untuk menyambung perjalanannya.

Abdullah Syarafi pun meneruskan perjalanannya yang masih jauh itu.

Beberapa hari kemudian, beliau terserempak dengan kumpulan penyamun yang telah menzalimi lelaki malang yang ditemuinya sebelum itu.

Rupanya Abddulah telah memasuki kawasan 'sarang' penyamun. Didapatinya mereka amat garang, bengis dan tidak ada tanda bersifat belas kasihan di wajah mereka. Sembilan orang semuanya.

Mulanya mereka hendak merampas barang-barang yang ada pada Abdullah, tetapi bila tidak mereka temui sesuatu pun yang berharga, lalu mereka bercadang untuk membunuhnya.

Berkata Abdullah, "Jikalau kematianku ada guna dan manfaatnya kepada tuan-tuan semua, maka bunuhlah hamba."

Tenang saja Abdullah menuturkan kata-katanya. Tidak ada rasa takut sedikit pun kerana beliau yakin bahawa Allah yang sudah dipercayainya diimaninya itu tidak akan membiarkan hal itu berlaku jika ianya memang tidak ditakdirkan atas dirinya.

"Tetapi," sambung Abdullah lagi, "Menurut fikiranku, tiada gunanya sama sekali tindakan tuan-tuan. Bahkan hanya akan mendatangkan kesusahan dan jadi beban pula kepada tuan-tuan. Kerana jika aku tuan-tuan bunuh, terpaksa pula mayat aku ditanam. Bermakna tuan-tuan terpaksa menggali tanah. Alangkah banyaknya kerja tuan-tuan hanya untuk menguruskan sekujur mayatku."

Abdullah Syarafi memerhatikan riak di wajah mereka. Kata-katanya memberi kesan terus ke hati mereka.

"Atau, jika tuan-tuan ingin membuang mayatku dari sini, tentulah terpaksa pula mengheret mayatku sekian jauh. Jikalau tidak, maka akan terganggulah tempat tuan-tuan ini oleh sebab busuknya bau mayatku nanti. Maka jelaslah, jika tuan-tuan tetap akan membunuhku, hanya akan menyusahkan diri tuan-tuan juga. Sedangkan manusia diberi akal oleh Tuhan. Supiaya dapat dengannya kita menimbang buruk baiknya sesuatu yang akan dikerjakan. Adakah ia memberi faedah atau sebaliknya. .."

Demikianlah Abdullah Syarafi terus berbicara hingga mulalah dia menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuan dia menempuh perjalanan yang penuh bahaya itu. Selanjutnya berkata Abdullah, "Tuan-tuan, selama mana pun manusia hidup, akhirnya. akan mati juga. Dan kelak sesudah mati, tiap-tiap manusia akan menghadapi pengadilan Tuhan. Menerima hukuman atas segala kejahatan yang telah dilakukannya. Jadi, bertaubatlah tuan-tuan dan berhentilah dari kejahatan ini sementara pintu dan jalan untuk taubat masih terbuka."

Demikianlah Abdullah mengakhiri nasihatnya. Dengan kehendak Allah jualah, maka segala tutor kata dan nasihat Abdullah Syarafi yang bersungguh-sungguh dian dengan penuh ikhlas itu rupanya menyelinap masuk ke dalam hati mereka langsung meresap masuk ke dalam perasaan keinsafan.

Lantas berbicara seorang dari mereka. "Bagaimanakah kami akan bertaubat Sedangkan dosa-dosa kami sudah terlalu amat banyak. Sudah sekian banyak harta benda manusia yang kami rampas, kami samun. Belum lagi dihitung penganiayaan yang telah kami lakukan terhadap mereka. Adapun nyawa manusia sahaja, sudah sembilan puluh sembilan yang terbang melayang.

Tetapi, meskipun demikian, memang kami telah mempunyai rasa takut terhadap azab-azab Allah di akhirat kelak. Oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, maka tolonglah tanyakan keadaan kami ini. Adakah Allah akan menerima taubat kami ini.. ?"


"Baiklah, akan hamba tanyakan kepada Nabi Musa," jawab Abdullah Syarafi dan dia pun meneruskan perjalanannya.

Selanjutnya, tinggal satu pertiga saja lagi perjalanannya, Abdullah Syarafi sedang melewati padang pasir yang tandus pula. Terdapat bukit-bukit berbatu-batan di beberapa tempat.

Tiba-tiba, beliau terserempak pula dengan seorang perempuan yang tinggal dalam sebuah gua batu. Perempuan setengah umur itu didapatinya tinggal di situ seorang diri.

Wanita separuh umur itu sedang tekun beribadah ketika Abdullah Syarafi terpegun melihatnya dengan rasa kagum.

Takala dia sudah selesai dari solatnya dan mendapati ada seorang pemuda tercegat di pintu guanya maka terkejutlah dia seraya membentak, "Siapa kamu? Apa yang kamu mahu? Adakah kamu hendak mengganggu ibadatku di sini?" 
 
"Tidak! Sama sekali tidak bahkan hamba tidak tahu menahu adanya tuan hamba di sini. "Jawab Abdullah dengan tenang saja. Dan tidak langsung terlintas dalam benaknya untuk berlaku jahat.

"Tapi hamba amat hairan. Sebab melihat keadaan tuan hamba yang sendirian di sini. Jauh dari manusia dan tekun pula beribadah. Tidakkah tuan hamba berasa takut tinggal seorang di sini? Bahkan hamba pada mulanya menyangka tuan hamba ini entahkah jin atau peri yang menghuni tempat ini. Bolehkah tuan hamba menceritakan mengapa tuan hamba berada di sini?"

"Tuan hamba pula dari mana dan apa tujuan?" Tanya perempuan itu pula. 

Lalu untuk kali ketiganya, Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dari mula dia beriman dengan risalah yang disampaikan oleh Nabi Musa AS hinggalah dia menempuh perjalanan yang serba sukar, bahaya dan meletihkan itu.

Setelah itu perempuan itu pula menceritakan hal ehwal dirinya. Maka fahamlah oleh Abdullah bahawa perempuan itu berada di situ kerana mahu mengasingkan dirinya dari manusia untuk melakukan ibadatnya dengan tekun.

Tidak diganggu oleh sesiapa. Dia juga berasal dari Mesir. Sudah bersuami dan punya beberapa orang anak.

Tetapi lantaran berasa khuatir, semua itu akan menghalanginya dari melakukan ibadat kepada Tuhannya, maka dia pun ber'uzlah' ke tempat sunyi itu.

"Hamba senang berada di sini." Tambah wanita itu lagi, "Asyik beribadat. Siang berpuasa. Malam beramal. Hidup hamba kini semata-mata untuk Tuhan dan hamba tidak lagi rasa khuatir akan terganggu oleh urusan rumah tangga, suami dan anak-anak juga masyarakat dan oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, tolonglah tanyakan kepada Baginda, adakah Tuhan menerima sekelian ibadat dan amal hamba ini dan memasukkan hamba ke dalam syurga-Nya lantaran demikian banyaknya amalan hamba ini." "Baiklah. Akan hamba tanyakan."

Lalu Abdullah Syarafi pun mohon izin dan dia pun berlalu dari situ, Tiada lama kemudian, sampailah dia di Mesir dan setelah dapat berjumpa dengan Nabi Musa AS maka segeralah dia menyatakan maksud kedatangannya yang hendak mencari Tuhan supaya biar tentu benar siapa Allah Tuhan yang hendak disembahnya itu.

Sebelum dia menutup kisah dirinya, sempat dia menyampaikan pertanyaan-pertanyaan yang dipesankan oleh mereka yang ditemuinya semasa dalam perjalanan. Jawab Nabi Musa AS:

"Wahai Abdullah Syarafi! Engkau fikirkanlah dan renungkanlah akan sifat-sifat dan makhluk bekas kekuasaan Allah SWT itu. Jangan sekali-kali engkau memikirkan zat Nya. Kerana engkau tidak akan sama sekali dapat memikir-Nya walau bagaimama sekali susah payahnya engkau.

Tetapi sentiasalah engkau akan menemui bukti kewujudan Allah itu pada semua bekas kekuasaannya yakni kejadianNya. Lihatlah alam yang terbentang ini. Termasuk juga kejadian dirimu sendiri, adalah menjadi saksi dan bukti akan adanya Tuhan. Dari mana engkau dan semua makhluk yang ada telah datang dan kemanakah nanti akan pergi?

Wahai Abdullah Syarafi, jangankan hendak menemui wujudnya Zat Tuhan itu yang memang sudah sengaja dighaibkan oleh-Nya kepada kita semua sekarang ini. Entah mungkin nanti dizahirkan-Nya di akhirat, kalau memang hijab sudah diangkatNya. Bahkan sesuatu yang ada dalam tubuhmu yang kamu sendiri pasti akan adanya dan kamu dapati bekas-bekas dan kesan perbuatanya, itupun tidak dapat kamu melihatnya. Yakni ruh kamu sendiri.

Maka apatah lagi Zat Dia yang telah mengadakan segalanya itu!

Jikalau Allah SWT menzahirkan Zat-Nya kepada kita ummat manusia sekarang ini... maka apalah gunanya lagi tugas kami sebagai Rasul utusan-Nya ini. Sedangkan kami ini menyampaikan khabar-khabar ghaib yang wajib diimani dipercayai itu?

Maka bukankah telah nyata bahawa ghaibnya Zat Tuhan dijadikan suatu ujian bagi keimanan seseorang hamba."

Termenung. Terpegun dan bungkamlah Abdullah Syarafi mendengar huraian yang sangat tepat dari Nabi Musa AS itu. Terus meresap ke dalam relung-relung kesedaran jiwanya akan segala kebenaran yang dituturkan oleh RasuluLlah Musa AS itu.

Dan dia mendengar lagi huraian-huraian selanjutnya bagi tiga persoalan yang dibawanya.

"Adapun kemudian dari itu, sehubungan dengan tiga jenis pertanyaan dari tiga golongan yang telah engkau temui itu, beginilah keterangannya.

Adapun yang ditimbulkan oleh Hakikat Iman seseorang manusia itu, ialah adanya empat macam sifat pada dirinya: Dua yang wajib diingati dan dua yang wajib dilupakan.

Maka dua yang wajib diingati ialah jasa-jasa orang terutama nikmat Allah terhadap dirinya. Dan kedua, ialah kesalahan- kesalahan dan kejahatann dirinya terhadap orang lain, terutama dosa-dosanya terhadap Allah.

Serta dua macam yang wajib dilupakan, ialah jasa-jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah.

Serta yang kedua, akan kesalahan-kesalahan dan kejahatan orang terhadap dirinya.

Dari itu, wahai Abdullah Syarafi, adapun orang yang engkau temui menderita di dalam rimba itu sengsara dengan sebab kekejaman-kekejaman dan aniaya orang ke atas dirinya, maka ia telah mengingat-ingati barang yang wajib dilupakan. Dan sebaliknya dia telah melupakan apa yang wajib diingati.

Diingat-ingatinya kejahatan penyamun yang dialaminya, tetapi ia melupakan jasa-jasa semut yang telah disuruh Allah untuk menghantarkan makanan ke mulutnya. Maka dengan demikian itu dia tidak mempunyai "Hakikat Iman", dan dari itu tidaklah akan masuk syurga.

Begitu pula tentang perempuan yang engkau temui mengasingkan diri ke tempat yang sunyi itu.

Ketahuilah bahawasanya agama itu disyariatkan Tuhan kepada umat manusia, ialah untuk membawakan ajaran dan petunjuk-petunjuk hukum bagi mereka, bagaimana adanya peraturan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia.

Nyatalah dengan tindakannya mementingkan dirinya meninggalkan rumah tangga, suami dan anak-anak serta masyarakatnya itu, suatu tindakan putus asa, yang dengan sendirinya dia telah merosakkan ajaran agamanya sendiri kerana ia telah memutuskan hubungannya dengan manusia.

Padahal, menanggung kesusahan kerana perhubungan demgan manusia itu, baik berupa hubungannya dalam melayani kepentingan suami sendiri, anak-anak atau masyarakatnya, adalah yang demikian itu termasuk amal dan ibadat juga baginya. Dan itu juga termasuk ajaran-ajaran agama kepada manusia.

Dan lagi sebabnya Tuhan mengharamkan bunuh-membunuhnya dan peperangan terjadi, ialah kerana akibatnya memusnahkan isi dunia, memutuskan perhubungan antara manusia dan memutuskan keturunan. Sedangkan tujuan Tuhan ialah supaya dunia ini diramaikan dengan manusia.

Maka kalau sama sajalah pendapat segala manusia dengan perempuan itu, yang lelaki tidak hendak beristeri dan yang perempuan tidak pula hendak bersuami lagi, maka tentulah dengan sendirinya, paling lama sesudah satu keturunan yang akan datang ini, akan putuslah keturunan manusia, mereka akan musnahlah dari permukaan bumi. Dari itu, samalah dosanya dengan membunuh orangramai.

Lagi pula yang dikehendaki oleh Hakikat-lman, ialah melupakan jasa-jasa diri, termasuk amalan dan ibadat kepada Tuhan. Maka sikap perempuan itu menunjuk-nunjukkan ibadatnya, seakan-akan ia telah berasa cukup mengadap Tuhan dengan ibadatnya itu.

Teranglah dengan demikian, dia pun tidak mempunyai Hakikat-lman. Kerana itu dia tidak akan masuk syurga, malahan masuk ke dalam golongan isi Neraka.

Tetapi tentang penyamun yang sembilan orang itu, mereka telah mengakui kesalahan-kesalahannya. Bahkan mereka telah saling merasa takut akan hukum siksaan, akibat daripada dosa-dosanya itu.

Maka justeru kerana itulah mereka telah bertanya tentang taubat kepada aku. Jikalau tiada kerana keinginannya hendak bertaubat itu, tentulah mereka tidak akan bertanya sedangkan Allah SWT tidak pernah menutup pintu taubat buat sekalian hamba-Nya (kecuali dosa syirik), sekalipun banyaknya dosa-dosanya itu memenuhi ruang langit.

Dari itu, dengan demikian merekalah yang mempunyai Hakikat Iman. Dan jikalau mereka meneruskan taubatnya itu, maka merekalah yang akan masuk syurga ...

Isnin, 4 Oktober 2010

BAGAIMANAKAH SESEORANG ITU MENJADI WALI ALLAH


Sesesorang itu menjadi wali dengan salah satu dari dua cara iaitu:-

1. Kerana Kurnia Allah

Adakalanya seorang menjadi wali kerana mendapat kurnia dari Allah meskipun ia tidak pernah dibimbing oleh seorang syeikh mursyid. Allah berfirman:
“Allah menarik kepada agama ini orang yang di kehendakiNya dan memberi petunjuk kepada agamaNya orang yang suka kembali kepadaNya.”23
23 Surah A-Syuara’ : 13


2. Kerana Usaha Seseorang

Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadits Qudsi:
“Allah berfirman: “Seorang yang memusuhi waliKu, maka Aku akan mengumumkan perang kepadanya. Tidak seorang pun dari hambaKu yang mendekat dirinya kepadaKu dengan amal-amal fardhu ataupun amal-amal sunnah sehinggai Aku menyayanginya. Maka pendengarannya, pandangannya, tangannya dan kakinya Aku beri kekuatan. Jika ia memohon sesuatu atau memohon perlindungan, maka Aku akan berkenan mengabulkan permohonannya dan melindunginya. Belum Aku merasa berat untuk melaksanakan sesuatu yang Aku kehendaki seberat ketika Aku mematikan seorang mukmin yang takut mati, dan Aku takut mengecewakannya.”24
24 Hadis riwayat Al-Bukhari


APAKAH SEORANG WALI MENGETAHUI BAHAWA DIRINYA SEORANG WALI?

Tentang hal ini, para ulama mempunyai dua pendapat. Di antara mereka, ada yang berpendapat bahawa seorang wali tidak mengetahui bahawa dirinya adalah seorang wali. Sebab, ada kemungkinan pengetahuannya tentang dirinya dapat menghilangkan rasa takutnya kepada Allah dan ia merasa senang.

Tetapi, ada pula yang berpendapat bahwa seorang wali tahu bahwa dirinya seorang wali. Syeikh Al Qusyairi berkata: “Menurut kami, tidak semua wali mengetahui bahawa dirinya seorang wali. Tetapi ada pula yang mengetahui bahawa ia adalah seorang wali. Jika seorang wali mengetahui bahwa dirinya seorang wali, maka pengetahuannya itu adalah sebahagian dari karamahnya yang sengaja diberikan kepadanya secara khusus.”25
25 Risalah Al Qusyairiyah jilid II hal 662

Jumaat, 1 Oktober 2010

TANDA-TANDA WALI ALLAH

1. Jika melihat mereka, akan mengingatkan kita kepada Allah swt. 

Dari Amru Ibnul Jammuh, katanya: “Ia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Allah berfirman: “Sesungguhnya hamba-hambaKu, wali-waliKu adalah orang-orang yang Aku sayangi. Mereka selalu mengingatiKu dan Akupun mengingati mereka.”10

10 Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunannya dan Abu Nu’aim dalam Hilya jilid I hal. 6


Dari Said ra, ia berkata: “Ketika Rasulullah saw ditanya: “Siapa wali-wali Allah?” Maka beliau bersabda: “Wali-wali Allah adalah orang-orang yang jika dilihat dapat mengingatkan kita kepada Allah.”11

11 Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya di dalam kitab Auliya’ dan Abu Nu’aim di dalam Al Hilya Jilid I hal 6).


2. Jika mereka tiada, tidak pernah orang mencarinya. 


Dari Abdullah Ibnu Umar Ibnu Khattab, katanya: “Pada suatu kali Umar mendatangi tempat Mu’adz ibnu Jabal ra, kebetulan ia sedang menangis, maka Umar berkata: “Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai Mu’adz?” Kata Mu’adz: “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Orang-orang yang paling dicintai Allah adalah mereka yang bertakwa yang suka menyembunyikan diri, jika mereka tidak ada, maka tidak ada yang mencarinya, dan jika mereka hadir, maka mereka tidak dikenal. Mereka adalah para imam petunjuk dan para pelita ilmu.”12

12 Hadis riwayat Nasa’i, Al Bazzar dan Abu Nu’aim di dalam Al Hilyah jilid I hal. 6


3. Mereka bertakwa kepada Allah.

Allah swt berfirman: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuwatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa.. Dan bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan akhirat”13

Abul Hasan As Sadzili pernah berkata: “Tanda-tanda kewalian seseorang adalah redha dengan qadha, sabar dengan cubaan, bertawakkal dan kembali kepada Allah ketika ditimpa bencana.”14

13 Surah Yunus: 62 - 64
14 Hadisriwayat.Al Mafakhiril ‘Aliyah hal 104


4. Mereka saling menyayangi dengan sesamanya.

Dari Umar Ibnul Khattab ra berkata:
“Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya sebahagian hamba Allah ada orang-orang yang tidak tergolong dalam golongan para nabi dan para syahid, tetapi kedua golongan ini ingin mendapatkan kedudukan seperti kedudukan mereka di sisi Allah.”

Tanya seorang: “Wahai Rasulullah, siapakah mereka dan apa amal-amal mereka?” Sabda beliau: “Mereka adalah orang-orang yang saling kasih sayang dengan sesamanya, meskipun tidak ada hubungan darah mahupun harta di antara mereka. Demi Allah, wajah mereka memancarkan cahaya, mereka berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, mereka tidak akan takut dan susah.”

Kemudian Rasulullah saw membacakan firman Allah yang ertinya: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.”15

15 Hadis riwayat Abu Nu’aim dalam kitab Al Hilya jilid I, hal 5


5. Mereka selalu sabar, wara’ dan berbudi pekerti yang baik.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahwa“Rasulullah saw bersabda:
“Ada tiga sifat yang jika dimiliki oleh seorang, maka ia akan menjadi wali Allah, iaitu: pandai mengendalikan perasaannya di saat marah, wara’ dan berbudi luhur kepada orang lain.”16

Rasulullah saw bersabda: “Wahai Abu Hurairah, berjalanlah engkau seperti segolongan orang yang tidak takut ketika manusia ketakutan di hari kiamat. Mereka tidak takut siksa api neraka ketika manusia takut. Mereka menempuh perjalanan yang berat sampai mereka menempati tingkatan para nabi. Mereka suka berlapar, berpakaian sederhana dan haus, meskipun mereka mampu. Mereka lakukan semua itu demi untuk mendapatkan redha Allah. Mereka tinggalkan rezeki yang halal kerana takut akan shubhahnya. Mereka bersahabat dengan dunia hanya dengan badan mereka, tetapi mereka tidak tertipu oleh dunia. Ibadah mereka menjadikan para malaikat dan para nabi sangat kagum. Sungguh amat beruntung mereka, alangkah senangnya jika aku dapat bertemu dengan mereka.” Kemudian Rasulullah saw menangis kerana rindu kepada mereka. Dan beliau bersabda: “Jika Allah hendak menyiksa penduduk bumi, kemudian Dia melihat mereka, maka Allah akan menjauhkan siksaNya. Wahai Abu Hurairah, hendaknya engkau menempuh jalan mereka, sebab siapapun yang menyimpang dari penjalanan mereka, maka ia akan mendapati siksa yang berat.”17

16 Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya di dalam kitab Al Auliya’
17 Hadis riwayat Abu Hu’aim dalam kitab Al Hilya

 
7. Mereka selalu terhindar ketika ada bencana.

Dari Ibnu Umar ra, katanya:
Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang diberi makan dengan rahmatNya dan diberi hidup dalam afiyahNya, jika Allah mematikan mereka, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurgaNya. Segala bencana yang tiba akan lenyap secepatnya di hadapan mereka, seperti lewatnya malam hari di hadapan mereka, dan mereka tidak terkena sedikitpun oleh bencana yang datang.”18

18 Hadis riwayat Abu Nu’aim dalam kitab Al Hilya jilid I hal 6


8. Hati mereka selalu terkait kepada Allah. 

Imam Ali Bin Abi Thalib berkata kepada Kumail An Nakha’i: “Bumi ini tidak akan kosong dari hamba-hamba Allah yang menegakkan agama Allah dengan penuh keberanian dan keikhlasan, sehingga agama Allah tidak akan punah dari peredarannya. Akan tetapi, berapakah jumlah mereka dan dimanakah mereka berada? Kiranya hanya Allah yang mengetahui tentang mereka. Demi Allah, jumlah mereka tidak banyak, tetapi nilai mereka di sisi Allah sangat mulia. Dengan mereka, Allah menjaga agamaNya dan syariatNya, sampai dapat diterima oleh orang-orang seperti mereka. Mereka menyebarkan ilmu dan ruh keyakinan. Mereka tidak suka kemewahan, mereka senang dengan kesederhanaan. Meskipun tubuh mereka berada di dunia, tetapi rohaninya membumbung ke alam malakut. Mereka adalah khalifah-khalifah Allah di muka bumi dan para da’I kepada agamaNya yang lurus. Sungguh, betapa rindunya aku kepada mereka.”19

19 Nahjul Balaghah hal 595 dan Al Hilya jilid 1 hal. 80


9. Mereka senang bermunajat di akhir malam. 

Imam Ghazali menyebutkan: “Allah pernah memberi ilham kepada para siddiq: “Sesungguhnya ada hamba-hambaKu yang mencintaiKu dan selalu merindukan Aku dan Akupun demikian. Mereka suka mengingatiKu dan memandangKu dan Akupun demikian. Jika engkau menempuh jalan mereka, maka Aku mencintaimu. Sebaliknya, jika engkau berpaling dari jalan mereka, maka Aku murka kepadamu. “ Tanya seorang siddiq: “Ya Allah, apa tanda-tanda mereka?” 

Firman Allah: “Di siang hari mereka selalu menaungi diri mereka, seperti seorang pengembala yang menaungi kambingnya dengan penuh kasih sayang, mereka merindukan terbenamnya matahari, seperti burung merindukan sarangnya. Jika malam hari telah tiba tempat tidur telah diisi oleh orang-orang yang tidur dan setiap kekasih telah bercinta dengan kekasihnya, maka mereka berdiri tegak dalam solatnya. Mereka merendahkan dahi-dahi mereka ketika bersujud, mereka bermunajat, menjerit, menangis, mengadu dan memohon kepadaKu. Mereka berdiri, duduk, ruku’, sujud untukKu. Mereka rindu dengan kasih sayangKu. Mereka Aku beri tiga kurniaan: Pertama, mereka Aku beri cahayaKu di dalam hati mereka, sehingga mereka dapat menyampaikan ajaranKu kepada manusia. Kedua, andaikata langit dan bumi dan seluruh isinya ditimbang dengan mereka, maka mereka lebih unggul dari keduanya. Ketiga, Aku hadapkan wajahKu kepada mereka. Kiranya engkau akan tahu, apa yang akan Aku berikan kepada mereka?”20

20 Ihya’ Ulumuddin jilid IV hal 324 dan Jilid I hal 358


10. Mereka suka menangis dan mengingat Allah.

‘Iyadz ibnu Ghanam menuturkan bahwa ia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Malaikat memberitahu kepadaku: “Sebaik-baik umatku berada di tingkatan-tingkatan tinggi. Mereka suka tertawa secara terang, jika mendapat nikmat dan rahmat dari Allah, tetapi mereka suka menangis secara rahsia, kerana mereka takut mendapat siksa dari Allah. Mereka suka mengingat Tuhannya di waktu pagi dan petang di rumah-rumah Tuhannya. Mereka suka berdoa dengan penuh harapan dan ketakutan. Mereka suka memohon dengan tangan mereka ke atas dan ke bawah. Hati mereka selalu merindukan Allah. Mereka suka memberi perhatian kepada manusia, meskipun mereka tidak dipedulikan orang.Mereka berjalan di muka bumi dengan rendah hati, tidak bongkak, tidak bersikap bodoh dan selalu berjalan dengan tenang. Mereka suka berpakaian sederhana. Mereka suka mengikuti nasihat dan petunjuk Al Qur’an. Mereka suka membaca Al Qur’an dan suka berkorban. Allah suka memandangi mereka dengan kasih sayangNya. Mereka suka membahagikan nikmat Allah kepada sesama mereka dan suka memikirkan negeri-negeri yang lain. Jasad mereka di bumi, tapi pandangan mereka ke atas. Kaki mereka di tanah, tetapi hati mereka di langit. Jiwa mereka di bumi, tetapi hati mereka di Arsy. Roh mereka di dunia, tetapi akal mereka di akhirat. Mereka hanya memikirkan kesenangan akhirat. Dunia dinilai sebagai kubur bagi mereka. Kubur mereka di dunia, tetapi kedudukan mereka di sisi Allah sangat tinggi. Kemudian beliau menyebutkan firman Allah yang artinya:“Kedudukan yang setinggi itu adalah untuk orang-orang yang takut kepada hadiratKu dan yang takut kepada ancamanKu.”21

21 Hadis riwayat Abu Nu’aim dalam Hilya jilid I, hal 16


11. Jika mereka berkeinginan, maka Allah memenuhinya.

Dari Anas ibnu Malik ra berkata: “Rasul saw bersabda:“Berapa banyak manusia lemah dan dekil yang selalu dihina orang, tetapi jika ia berkeinginan, maka Allah memenuhinya, dan Al Barra’ ibnu Malik, salah seorang di antara mereka.”

Ketika Barra’ memerangi kaum musyrikin, para sahabat: berkata: “Wahai Barra’, sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda: “Andaikata Barra’ berdoa, pasti akan terkabul. Oleh kerana itu, berdoalah untuk kami.” Maka Barra’ berdoa, sehingga kami diberi kemenangan.

Di medan peperangan Sus, Barra’ berdo’a: “Ya Allah, aku mohon, berilah kemenangan kaum Muslimin dan temukanlah aku dengan NabiMu.” Maka kaum Muslimin diberi kemenangan dan Barra’ gugur sebagai syahid. 


12. Keyakinan mereka dapat menggoncangkan gunung.

Abdullah ibnu Mas’ud pernah menuturkan:
“Pada suatu waktu ia pernah membaca firman Allah: “Afahasibtum annamaa khalaqnakum ‘abathan”, pada telinga seorang yang pengsan, maka dengan izin Allah, orang itu segera sedar, sehingga Rasuulllah saw bertanya kepadanya: “Apa yang engkau baca di telinga orang itu?” Kata Abdullah: “Aku tadi membaca firman Allah: “Afahasibtum annamaa khalaqnakum‘abathan” sampai akhir surah.” Maka Rasul saw bersabda: “Andaikata seseorang yakin kemujarabannya dan ia membacakannya kepada suatu gunung, pasti gunung itu akan hancur.”22

22 Hadis riwayat Abu Nu’aim dalam Al Hilya jilid I hal 7