Rabu, 13 Oktober 2010

Bagaimanakah Cara Sebenar Islam Naik Semula? Bahagian II

Sebenarnya memang benar bahawa Islam tidak naik dengan cara yang sedia ada pada hari ini, dan sekali-tidak tidak akan naik dengan cara itu. Islam ada sistemnya sendiri yang amat jauh berbeza daripada sistem-sistem yang sedia ada, baik pada hari ini mahupun pada masa lalu. Kaedah yang kita amalkan pada hari ini bukanlah kaedah Islam atau kaedah yang sesuai dengan Islam. Untuk memudahkan pemahaman tentang masalah ini, berikut diperturunkan beberapa ciri khusus yang perlu diperhatikan semasa menilai seseorang itu, sama ada layak kita jadikan pemimpin Islam kita atau tidak. Jika tidak ada, maka tidak layaklah dia memperkatakan negara Islam, apatah lagi mahu memerintahnya.

1. Mula-mula sekali Allah SWT turunkan pemimpin berkenaan. Ini adalah perlu kerana pada diri pemimpin berkenaanlah Allah wakilkan pentadbiran-Nya untuk menguruskan sekalian manusia. Hanya dengan orang yang telah Allah SWT sendiri pilih secara khusus untuk menjadi wakil-Nya mentadbir manusia, barulah Islam akan turut sama naik, bersama-sama dengan naiknya pemimpin berkenaan sebagai pemerintah manusia. Hal ini tidaklah perlu dihairankan sangat, atau dipertikaikan lagi, kerana contohnya sudah amat jelas. Contohnya Rasulullah SAW dilantik sebagai pemimpin manusia melalui firman-Nya:


“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu sekaliannya.”
(Al-Aa’raf : 158)

Orang yang menjadi rasul adalah juga pemimpin bagi umatnya, kerana salah satu tugas rasul itu adalah memimpin umatnya melaksanakan syariat Allah, dan sekali gus menjadi ketua bagi umat masing-masing. Begitu juga dengan Bani Israel yang Allah datangkan Talut sebagai pemimpin mereka. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud,


“Dan nabi mereka (Nabi Samuel AS) berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah mengangkat untuk kamu semua Talut sebagai raja…”
(Al-Baqarah : 247)

Begitu juga semasa Allah SWT melantik Nabi Musa AS sebagai pemimpin mereka, seperti firman-Nya yang bermaksud,


“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah kepada kamu semua ketika Dia melantik di kalangan kamu nabi-nabi dan dijadikannya kamu raja-raja.”
(Al-Maidah : 20)

Orang itu dan kepemimpinannya mestilah bertaraf Khalifah. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud,


“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah di atas muka bumi…”
(Al-Baqarah : 30) 


2. Disesuaikan dengan zaman munculnya. Pemimpin seperti ini tidak diturunkan secara semberono sahaja, malah ditentukan pada setiap zaman, bentuk-bentuk kepemimpinan yang perlu dilakukannya. Misalnya untuk zaman ini, pemimpin itu mestilah berusaha menghidupkan kembali sistem pemerintahan Islam sepusat (Centralized Islamic World) yang negara-negara Islam lain tumpang bernaung di bawahnya dan dia juga berusaha menghidupkan kembali sistem khalifah. Pemimpin itu perlu berjuang ke arah ini pada zaman ini kerana sistem khalifah sudah lama dipadamkan dari dunia Islam oleh kuasa-kuasa Barat. Kalau pemimpin berkenaan hanya pandai berkokok tentang Islam di bawah tempurung sahaja, dan tidak pernah cuba menghidupkan sistem khalifah seperti dahulu, maknanya dia bukan pemimpin Islam sejati, malah dia adalah pemimpin yang mencari kepentingan peribadi. Kalau pemimpin itu tidak pernah berusaha membawa pentadbiran Islamnya keluar dari sempadan negaranya, maka dia juga bukanlah seorang pemimpin sejati yang ditunjuk oleh Allah untuk kita. Dia sebenarnya hanyalah seorang pemimpin biasa yang apabila tiba masanya, pasti akan turun juga dari pemerintahannya (sama ada secara sukarela atau terpaksa) untuk memberi laluan kepada pemimpin sejati itu naik memerintah.

 
3. Diberikan sifat-sifat khusus yang jauh berbeza daripada pemimpin lain untuk memudahkan orang ramai mengenalinya. Pada satu-satu masa, yakni pada setiap seratus tahun, hanya dia seorang sahaja yang diberikan sifat-sifat khusus begini, yang sebenarnya bukanlah suatu yang asing dalam Islam. Hanya dikeranakan umat Islam sudah terlalu lama tidak mengamalkannya atau melihat Islam secara realiti, maka apa yang dibawanya itu dilihat sebagai sesuatu yang baru. Itulah salah satu sifat utama seorang pemimpin yang ditunjuk oleh Allah, mampu membawa perubahan yang menyeluruh kepada seluruh umat, tanpa mengira sempadan negara dan bangsa. Apa yang dibawanya itu amat asing bagi, bukan sahaja orang-orang kafir malah umat Islam sendiri, termasuk kalangan ulamanya. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
   
“Islam itu permulaannya adalah asing, dan nanti akan kembali menjadi asing, seperti permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (Muslim)

4. Dikhususkan ilmu, penghayatan dan kefahaman kepadanya yang bersesuaian dengan zaman itu. Ini amatlah penting kerana dengan pemberian sifat-sifat khusus seperti inilah mereka diberi kemampuan untuk membawa seluruh manusia kepada Allah, sedangkan sebelumnya mereka begitu hanyut dengan pelbagai bentuk keduniaan yang melalaikan. Dengan ilmu mereka yang sentiasa hidup itulah, umat Islam akan tertarik hatinya untuk kembali mengamalkan ajaran Islam, bertaubat dari perangai lamanya dan bertukar menjadi orang yang saleh. Ini tidak perlu dihairankan kerana Rasulullah SAW pernah berbuat demikian terhadap para sahabat baginda seperti yang banyak diriwayatkan, baik di dalam buku-buku sejarah Islam mahupun di dalam buku-buku sejarah umat Islam. Hal ini tidak akan Allah berikan kepada mana-mana pemimpin pun pada sesuatu zaman itu. Jika ciri-ciri ini ada pada seseorang, maka orang itulah pemimpin sejati kita, tidak akan ada dua atau tiganya lagi. Jika hendak terjumpa pun orang yang mempunyai ciri-ciri yang sama, kenalah tunggu hingga seratus tahun lagi. Itupun jika umur kita masih panjang atau dunia ini masih belum dikiamatkan lagi.

5. Pemimpin umat Islam adalah orang yang paling bertakwa di kalangan manusia. Mereka bukan sahaja orang Islam, malah dia beriman kepada Allah. Dia membesarkan sembahyang bagi dirinya dan memerintahkan pengikutnya membesarkan sama sembahyang. Allah SWT sangat dibesarkan, ditakuti dan dicintai melebihi dari segala-galanya. Segala ungkapan cinta dan asyik, tertuju khusus kepada Allah. Apabila pemimpinnya sendiri mencintai Allah, pastilah rakyatnya akan turut sama mencintai Allah. Sunnah Rasul SAW sangat dibesarkan dalam setiap aspek kehidupan sehingga perkara yang kecil-kecil pun dibesarkan sama, kerana kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW terzahir dalam setiap tindak tanduk mereka. Semua ini sudah diterangkan oleh Allah SWT sendiri seperti firman-Nya yang mafhumnya,  

“Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang sentiasa mendirikan sembahyang, yang mengeluarkan zakat dan adalah mereka itu orang-orang yang rukuk.” (Al-Maidah : 55)

6. Ditentukan tempat munculnya. Rasulullah SAW sudah menjelaskan tempat munculnya pemimpin akhir zaman. Untuk akhir zaman ini, tempat munculnya juga sudah dijelaskan oleh Nabi SAW dengan menyatakan, yang maksudnya,  

“Seorang lelaki dari anak cucu Al-Hasan akan datang dari arah Timur. Jika dia menghadap ke arah gunung, akan dipukulnya sampai rata, sehingga mereka berjaya melaluinya.”
  
Orang yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi, datang dari keturunan Sayidina Hasan bin Ali RA iaitu keturunan Ahlulbait dan tempat munculnya adalah di Timur. Timur yang dimaksudkan itu adalah di Asia Tenggara ini, iaitu kawasan tempat tinggal kita sekarang.


Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan