Isnin, 18 Oktober 2010

Bagaimanakah Cara Sebenar Islam Naik Semula? Bahagian V

Selain itu, sesebuah jemaah atau parti yang memperjuangkan kebenaran seharusnya mampu melakukan yang berikut, sebagai tanda merekalah golongan yang dimaksudkan oleh hadis-hadis dan patut disokong sepenuhnya.

1. Ahli yang memasukinya mampu melakukan perubahan hati. Perubahan ini berbentuk membersihkan hati mereka daripada dosa dan titik-titik hitam. Jemaah menggalakkan mereka banyak-banyak bertaubat.


2. Ahli-ahlinya mampu menyelaraskan pemahaman terhadap hampir seluruh aspek perjuangan. Hal ini hanya mampu dilakukan oleh sebuah jemaah sahaja dalam setiap seratus tahun atau pemimpinnya itu seorang yang bertaraf mujaddid atau sekurang-kurangnya bertaraf imam mujtahid mutlak.


3. Ahli-ahlinya mampu melakukan perubahan fizikal. Pakaian mereka semakin kemas menurut syarak dan sentiasa dipatuhi sepanjang masa, walau di mana sahaja mereka berada, bukan sahaja semasa di hadapan para pengikut mereka.


4. Ahli-ahlinya mampu mempertingkatkan iman dari semasa ke semasa. Jika ini dapat dilakukan, itulah juga tandanya jemaah itu adalah jemaah kebenaran.

5. Ahli-ahlinya mampu memperkemaskan ibadat-ibadat wajib dan istiqamah dengan ibadat yang sunat sunat. Salah satu tanda orang yang dikasihi oleh Allah SWT ialah mereka sentiasa memperkemaskah ibadat yang wajib dan istiqamah dengan ibadat yang sunat-sunat. Hanya jemaah kebenaran sahaja yang mampu menitikberatkan ibadat sunat ini di kalangan ahlinya. Jika selain jemaah kebenaran, pengikut imam mujtahid mutlak juga boleh berbuat demikian. Yang selain dari itu, semuanya pasti gagal.

6. Ahli-ahlinya mampu memimpin zaman kerana pemimpin mereka bertaraf Sahibul Zaman, bukannya dipimpin oleh zaman. Kepemimpinan mereka mendahului zamannya dan tidak terkejar oleh jemaah lain, sekurang-kurangnya dalam tempoh masa yang terdekat. Kaedah perjuangan mereka tepat menurut keperluan zaman.


7. Ahli-ahlinya tidak menggunakan kaedah semasa, baik dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, keilmuan dan sebagainya. Kaedah mereka adalah kaedah lama, kaedah yang sudah tidak diketahui lagi oleh kalangan ilmuwan, walau yang paling cerdik sekalipun.


8. Mengajak ahli-ahlinya menghisab dosa-dosa dan kesalahan sendiri, tidak memperkatakan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan orang lain. Lidah mereka bersih daripada menipu, mengata-ngata orang, memfitnah, membuka aib/kesalahan orang lain atau memperkatakan dosa orang lain.


9. Ahli-ahlinya menganggap tugas kepemimpinan adalah suatu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul dan akan dihisab dengan teliti di akhirat kelak. Kerana itu, setiap tugas yang diamanahkan kepada mereka akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab walaupun tiada yang mengawasi pekerjaannya.


10. Ahli-ahlinya tidak meminta sebarang jawatan untuk memimpin dan tidak berhasrat untuk meminta jawatan. Hal ini amatlah sukar kerana lazimnya setiap parti politik akan meminta orang ramai menyokongnya untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah parti dan seterusnya dalam pentadbiran negara.


11. Ahli-ahlinya diajak sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap masa dan ketika. Hanya dengan hati yang sentiasa mengingati Allah sahajalah pertolongan-Nya akan tiba dan perjuangan mereka sentiasa dibantu.


12. Ahli-ahlinya diajak sangat-sangat mencintai Allah SWT dan merindui Rasulullah SAW sepenuh hati.


13. Jemaahnya mampu membangunkan menurut sunnah sehingga mereka mampu berdikari tanpa bantuan dan sokongan mana-mana pihak.


14. Ahli-ahlinya tidak terjejas oleh sebarang perubahan duniawi yang merosak dan melalaikan. Jemaah-jemaah lain tidak akan mampu menjaga ahli-ahlinya daripada terikut-ikut dengan pengaruh semasa yang merosakkan.


15. Ahli-ahlinya tidak dibiarkan begitu sahaja kerana setiap ahlinya adalah ahli-ahli yang terpimpin dan sentiasa dipimpin. Itulah sikap pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab. Kebajikan mereka sentiasa diisi.


16. Keluarga ahli mereka juga diperhatikan dan turut diasuh dengan keperluan yang sesuai dengan kehendak jemaah. Keluarga ahli mendapat kefahaman yang sama dengan kefahaman pemimpin.


17. Setiap ahli yakin dengan perjuangan mereka dan yakin mereka akan mendapat bantuan daripada Allah SWT. Kerana itu mereka sentiasa memperbaiki diri dan mengikis dosa-dosa dengan harapan doa mereka tidak lagi terhijab akibat dosa-dosa berkenaan.


18. Mereka ditakuti oleh kawan dan lawan. Musuh amat gerun terhadap mereka. Yang sealiran dengan mereka amat sayang dengan mereka ini dan sentiasa bergantung harap kepada mereka.


19. Mampu membawa perubahan yang besar kepada corak dan aliran politik semasa dengan hanya sepatah kata, atau dengan satu ungkapan yang pendek sahaja. Betapalah besar perubahan yang akan mampu dibawanya jika mereka dibenarkan bercakap dengan panjang lebar.


Jika ciri-ciri di atas ada pada sesebuah jemaah atau parti, jangan tangguh-tangguh lagi. Itulah dia jemaah atau parti yang memperjuangkan kebenaran seperti yang telah dijanjikan akan muncul pada akhir zaman. Beramai-ramailah kita mengikutinya dengan hati yang ikhlas dan keyakinan yang penuh. Semoga kita akan mendapat salah satu tempat sebagai salah seorang yang berbahagia di dunia ini dan lebih-lebih lagi bahagianya di akhirat kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan