Isnin, 18 Oktober 2010

Bagaimanakah Cara Sebenar Islam Naik Semula? Bahagian IV

9. Diuji dan ditapis pengikut-pengikutnya untuk menguji kekuatan iman dan keikhlasan hatinya. Hal ini amat perlu kerana dengan melalui ujian dan tapisan demi tapisan itulah baru diketahui siapa yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah, dan sesiapa yang banyak dosanya pasti tertinggal. Ingat, walau berapa ramai pun yang tertinggal, Pemuda Bani Tamim tetap bergerak ke hadapan dan langkahannya tetap laju mara menuju ke matlamat yang telah ditetapkan oleh Jadual Allah. Sesiapa yang mahu mengikutnya perlulah bersabar dan tahan menerima ujian, biar seberat mana pun ujian yang terpaksa diterima itu. Jika Pemuda Bani Tamim terpaksa melalui tujuh tahap ujian berat seperti di atas, maka pengikut-pengikutnya terpaksa juga menerima ketujuh-tujuh ujian itu, tidak dapat tidak. Cuma bezanya, setinggi mana pun ujian yang diterima oleh si pengikut, tetap tidak lebih berat daripada ujian yang ditanggung oleh Pemuda Bani Tamim itu sendiri. Beliau terpaksa menanggung segala ujian itu yang jauh lebih berat dan sukar daripada apa yang diterima oleh pengikutnya.

10. Dinaikkan secara yang tidak zalim. Bolehkah Islam ditegakkan setelah kerajaan yang sedia ada ditumbangkan secara zalim? Ertinya, kita menegakkan keadilan dengan cara yang zalim? Talut dinaikkan sebagai raja dengan cara yang tidak zalim. Dia tidak merampas kuasa dan tidak pula dengan melobi rakyat supaya menyokongnya. Kemunculannya adalah hasil doa dan rintihan rakyat dari kalangan Bani Israel kepada Allah. Nabi Musa AS juga menjadi pemerintah bagi Bani Israel secara semula jadi, tidak ada pengaruh-mempengaruhi dan tidak pernah pula menabur janji-janji manis kepada rakyat. Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah menjadi pemimpin dengan menjatuhkan pemimpin Quraisy di Makkah, tidak pernah juga mempengaruhi penduduk Makkah supaya menyokong baginda, tidak pernah menabur janji-janji manis atau janji-janji politik, tidak juga melalui undi dan sokongan rakyat. Malah jauh sekali daripada mencerca peribadi-peribadi pemimpin Quraisy di kota Makkah itu biarpun mereka itu amat nyata kafirnya, malah sudah dimaktubkan kekafiran mereka di dalam Al-Quran. Setiap pemimpin yang zalim dijatuhkan oleh Allah kerana mereka menentang rasul-rasul dan wali-wali Allah dan dalam konteks akhir zaman, pemerintah itu dijatuhkan kerana mereka menentang pemimpin sejati akhir zaman. Mereka juga dijatuhkan oleh Allah kerana dosa-dosa mereka sendiri yang sudah terlalu banyak dan kerana terlalu zalim terhadap Orang-orang Allah, bukannya oleh kuasa rakyat atau melalui sistem demokrasi.


Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa pemerintah (dan rakyat) yang zalim itu akan Dia binasakan kerana kezaliman mereka pada waktu yang telah Dia tetapkan sendiri seperti dalam firman-Nya yang bermaksud kira-kira begini,


“Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan apabila mereka berbuat zalim, dan Kami jadikan bagi mereka itu kebinasaannya pada waktu yang telah dijanjikan.”
(Al-Kahfi : 59)

Pemimpin akhir zaman juga tidak pernah melobi rakyat supaya menyokongnya. Sokongan rakyat kepadanya datang dengan sendiri, melalui hati yang sangat rapat dengan Allah. Sokongan rakyat adalah dengan melaksanakan setiap perintahnya dengan sepenuh taat, tidak berbuat jahat walaupun berada jauh daripada pemimpinnya itu atau tanpa pengetahuan pemimpinnya. Malah setelah pemimpinnya mati sekalipun, mereka tetap tidak akan berbuat jahat kerana mereka taatkan pemerintah mereka tidak mengira sama ada pemimpin mereka itu ada di hadapan atau jauh ataupun setelah matinya. Itulah pemimpin sejati, pemimpin yang sentiasa berada di hati, bukan di jari.


11. Diangkat sebagai pemimpin pada masa yang bersesuaian. Lazimnya pada awal setiap kurun Hijrah. Ulama yang zahir bukan pada masanya yang tepat, tidak sekali-kali boleh dikatakan sebagai mujaddid walaupun ilmunya sangat luas, jasanya sangat besar terhadap umat Islam, pemahamannya dikagumi, tulisan-tulisannya sangat banyak dan matinya pun sebagai seorang syahid. Seorang mujaddid mestilah zahir pada awal kurun Hijrah, bukan di tengah-tengah kurun. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW yang maksudnya,


“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun orang yang akan memperbaharui urusan agamanya.”
(Abu Daud, At-Tabari, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Ertinya, apabila tiba sahaja pada setiap awal kurun Hijrah, maka umat Islam mestilah menumpukan perhatian mereka untuk mencari siapakah dia pemimpin yang Allah utuskan untuk kurun berkenaan. Hal ini telah Allah wajibkan kepada kita, semua umat Islam, untuk mencarinya, mengisytiharkan nikmat ini ke seluruh dunia dan kemudian bersama-sama melantiknya sebagai pemimpin seluruh umat Islam, tanpa mengira sempadan mazhab, pendidikan, geografi atau sebagainya lagi. Hanya dengan inilah sahaja caranya Islam akan menjadi tinggi dan nasib umat Islam akan terbela sepenuhnya daripada segala macam kesukaran dan penderitaan yang sedang kita tanggung pada hari ini. Nasib kita di akhirat sana pun akan lebih terbela dengan keberadaan orang pilihan Allah ini di tengah tengah kita.


12. Diberi keupayaan menghapuskan khurafat-khurafat dan bidaah yang sedang berleluasa. Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud, 

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah supaya agama (Islam yang satu) itu hanyalah untuk Allah semata-mata…” (Al-Anfal : 39)

13. Diberi keupayaan menghapuskan sistem-sistem yang tidak Islamik dan menggantikannya dengan kaedah Islam tulen, seperti firman-Nya yang bermaksud,

"Dialah yang mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan oleh-Nya atas segala agama yang lain keseluruhannya, walaupun orang-orang musyrik itu tidak menyukai.” (At-Taubah : 33)

14. Diberi keupayaan membawa keadilan yang merata, yang sesuai dengan tuntutan syarak. Adil yang dimaksudkan adalah adil menurut Al-Quran, bukannya adil menurut kaca mata Barat. Keadilan yang hakiki tidak akan mampu ditegakkan melainkan oleh seorang pemimpin yang ditunjuk dan didatangkan khusus oleh Allah untuk manusia. Hal ini barangkali agak jelas dan mudah, menurut kefahaman masing-masing. Oleh itu, tidak perlulah diperpanjangkan lagi di sini.


15. Pemimpin sejati adalah orang yang ditaat zahir dan batin. Pada hari ini, ramai pemimpin yang sudah tidak dihormati lagi oleh rakyatnya. Malah orang bawahannya juga sudah tidak tahu lagi menghormati pemimpin mereka. Hal ini sebenarnya adalah disebabkan pengaruh sistem Yahudi yang menyusup masuk ke dalam budaya dan hati kita secara yang amat halus sehingga tidak kita sedari. Memang orang-orang Yahudi tidak pernah mahu menghormati sesiapa pun. Usahkan orang yang bertaraf pemimpin atau raja di kalangan mereka, malah orang yang bertaraf rasul pun tidak pernah mereka hormati. Lihatlah bagaimana Al-Quran merakamkan cara mereka memanggil nabi mereka. Disebutkan di dalam beberapa banyak ayat Al-Quran, mereka memanggil Nabi Musa AS itu dengan sebutan, “Wahai Musa!…” sahaja. Tidak ada disebutkan mereka memanggilnya dengan Alaihissalam atau Rasulullah. Begitulah biadabnya mereka terhadap rasul-rasul mereka sendiri!


Pemimpin yang sejati ditaati perintahnya zahir dan batin. Beliau mestilah berusaha membina peribadinya dahulu dengan ajaran-ajaran Islam, kemudian membina keluarganya dengan persekitaran Islam, kemudian barulah beliau mendirikan sebuah jemaah untuk memulakan kepemimpinannya ke tahap yang lebih luas. Ahli-ahli jemaah ini sentiasa taat kepada beliau kerana meyakini kepemimpinan beliau. Itulah bentuk kepemimpinan yang dikehendaki seperti dalam sabda Nabi SAW yang maksudnya,


“Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan.”


Begitu juga sabda Nabi SAW yang menyebutkan, maksudnya,


“Sesiapa yang mentaatiku maka bererti dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakaiku maka bererti dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati Amirku maka bererti dia mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai Amirku maka bererti dia telah menderhakaiku.”


Untuk mendapatkan pengesahan seseorang itu sebagai pemimpin umat, perlu berlaku baiat antara si pemimpin dengan si rakyat yang dipimpin. Orang yang tidak berbaiat kepada pemimpin, mendapat dosa yang besar dan dianggap penderhaka, sehinggalah dia membaiat pemimpin berkenaan. Ini telah digambarkan oleh baginda SAW dalam hadisnya yang bermaksud,


“Sesiapa yang mati sedangkan pada lehernya tiada tanggungan baiat, maka matinya adalah mati dalam keadaan jahiliyah.”
(Muslim)

BERSAMBUNG....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan